Sultan Selangor Tidak Berkenan Penternakan Babi Di Negeri Itu

KLANG,— Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan bahawa Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri Selangor, susulan kenyataan Perdana Menteri berhubung cadangan projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, Baginda menyambut baik kenyataan Perdana Menteri yang sebelum ini mencadangkan agar projek berkenaan dibatalkan, khususnya jika tiada kawasan yang sesuai dan ia menimbulkan bantahan penduduk setempat.

Sultan Sharafuddin bertitah penternakan babi berpotensi menyebabkan pencemaran udara melalui bau busuk serta mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Baginda menegaskan perkara itu boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, walaupun kaedah penternakan moden mampu mengurangkan pencemaran, ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan tiada jaminan sepenuhnya terhadap keselamatan sumber air, khususnya di kawasan tadahan air yang menjadi punca bekalan kepada Lembah Klang.

Baginda turut menegaskan bahawa penternakan babi, sama ada berskala besar atau kecil, tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang seharusnya digunakan untuk tujuan ekonomi lain yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Baginda mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi menampung permintaan orang bukan Islam, khususnya masyarakat Cina di negeri berkenaan, sebagai alternatif kepada penternakan tempatan.

Sultan Selangor juga menegaskan isu penternakan babi perlu dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles