Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan pasukan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadual berlangsung esok menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, baginda selaku Penaung Selangor FC, berpandangan, susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa membabitkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga aksi pertama Liga Super edisi 2024.
“Baginda bertitah, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan pemain, dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.
“Titah baginda lagi, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid membabitkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira,” menurut kenyataan itu hari ini.
Baginda turut kecewa dengan tindakan MFL menolak permohonan selangor fc supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.
“Baginda juga mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang membabitkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.