SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa sebarang keputusan atau usaha pembangunan semula Kampung Baru di Kuala Lumpur perlu dilaksanakan dengan penuh teliti dan mengutamakan kepentingan orang Melayu, bukan sahaja pada masa kini tetapi juga dalam jangka panjang.
Baginda menegaskan, walaupun tiada halangan untuk membangunkan Kampung Baru agar selari dengan arus kemodenan, syarat-syaratnya mestilah jelas dan berpihak kepada masyarakat Melayu.
“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut baginda, Kampung Baru yang ditubuhkan pada tahun 1899 telah diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 oleh Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor kelima.
Sejak itu, Kampung Baru telah menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa penting orang Melayu, antaranya Kongres Melayu Se-Malaya 1946 di Kelab Sultan Sulaiman yang mencetuskan penubuhan UMNO, serta tragedi 13 Mei 1969 apabila kawasan itu dijadikan tempat perlindungan masyarakat Melayu.
Lebih nostalgik, padang Kelab Sultan Sulaiman juga pernah menjadi gelanggang latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum Stadium Merdeka dibina.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa Masjid Jamek Kampung Baru, yang dirasmikan Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, mesti dikekalkan di lokasi asal dan tidak boleh dipindahkan.
“Sesungguhnya, Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak 1900. Kampung ini memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur,” titah baginda lagi.
Baginda turut berkongsi kenangan peribadi apabila pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda Musa, Kampung Baru, manakala ayahanda Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, juga dilahirkan dan membesar di kawasan bersejarah itu.