SHAH ALAM -Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang didakwa membabitkan penyokong pasukan bola sepak Selangor FC pada 1 Februari lalu.
Baginda, selaku Penaung Selangor FC, bertitah bahawa Baginda tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral termasuk budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya mereka yang memakai jersi pasukan Selangor FC.
Menurut kenyataan media Istana Alam Shah hari ini, Baginda menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menyiasat secara menyeluruh serta mengenal pasti dalang di sebalik insiden tersebut. Baginda menegaskan, sekiranya pihak terlibat didapati bersalah, mereka perlu dikenakan hukuman maksimum dan setimpal mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Baginda bertitah bahawa tindakan tegas itu perlu dijadikan pengajaran kepada penyokong Selangor FC yang lain supaya kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Baginda menyeru semua penyokong Selangor FC supaya sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing, memelihara disiplin serta menjaga nama baik pasukan dan negeri Selangor.
Baginda turut mencadangkan agar mana-mana penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan kerana menimbulkan kekacauan, diharamkan daripada memasuki stadium bagi menghadiri sebarang perlawanan membabitkan pasukan itu.










