Sultan Perak Ajak Umat Islam Pelihara, Tingkat Kefahaman Tentanh Ahli Sunnah Wal Jamaah

KUALA LUMPUR: Untuk menjamin kestabilan ummah, seluruh masyarakat Islam di negara ini perlu memelihara dan meningkatkan kefahaman berkenaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bukan itu sahaja, ummah harus dilengkapkan dengan kefahaman yang jelas berkenaan pegangan itu agar umat Islam lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan.

“Ancaman ke atas pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilakukan secara terang oleh musuh-musuh Islam dan secara terselindung melalui gerakan-gerakan batiniah tertentu, dan tindak tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya.

“Namun pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar.

“Oleh itu ummah wajib berganding bahu memastikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilindungi, dipelihara, difahami dan dihayati,” titah baginda pada perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, hari ini.

Dalam ucapannya, Sultan Nazrin bertitah bahawa akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disifatkan sebagai ajaran yang jelas dan tiada kekeliruan di dalamnya, serta pegangannya merupakan warisan jati diri umat Islam sejak agama itu mula bertapak di negara ini.

Baginda bertitah, manhaj atau kaedah dan pendekatan pegangan itu juga bersifat pertengahan dan tidak keterlaluan atau ekstrem, malah ia menerima pendekatan nas dan akal.

“Ahli Sunnah Wal Jamaah, berpegang bahawa manusia dituntut berusaha dan berikhtiar, tetapi memahami bahawa Allah SWT yang menentukan hasil kejayaan dan pencapaian.

“Dalam amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah, akal diberikan ruang untuk berfikir dan membuat tafsiran, malahan takwilan (tafsiran) yang tidak jauh dengan tuntutan nas, bukan membuat tafsiran secara literal yang menampakkan Islam sebagai agama yang kaku dan tidak realistik,” titah baginda lagi.

Terdahulu pada majlis baginda berkenaan menyempurnakan pelancaran dua buku yang dihasilkan Mufti Perak iaitu ‘Mengenal Kesesatan Syiah’ dan ‘Jaringan Islam Liberal dan Agenda Permutadan Ummah’.

BBerkaitan

Latest articles