Sukarelawan Malaysia Diserang Dron Ketika Misi Gaza, Zahid Doa Mereka Terus Tabah

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menzahirkan harapan agar 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza kekal tabah selepas kapal mereka diserang 15 dron dipercayai milik rejim Israel.

Beliau percaya niat murni rombongan kemanusiaan itu untuk menamatkan krisis kebuluran di Palestin akan dipermudahkan.

“Kita harap mereka cekal menghadapi apa jua ancaman Israel. Niat yang baik, insya-Allah akan menghasilkan sesuatu yang baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan IkonDesa@Putrajaya di Souq Putrajaya, petang tadi.

Semalam, media melaporkan kapal Alma yang membawa sukarelawan Malaysia diserang dron ketika berada kira-kira 750 batu nautika dari Gaza.

Situasi itu disahkan sukarelawan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), yang memaklumkan flotilla kini semakin hampir dengan zon kritikal.

Misi tersebut kini berdepan pelbagai cabaran termasuk letupan berhampiran laluan pelayaran, gangguan komunikasi serta kehadiran dron tidak dikenali.

Seramai 34 delegasi Malaysia terdiri daripada 25 lelaki dan sembilan wanita menyertai konvoi flotilla, sebahagian daripada 53 kapal kemanusiaan bersama tiga kapal pemerhati yang menghimpunkan sukarelawan dari lebih 45 negara.

Ahmad Zahid berkata, beliau yakin pasukan Malaysia telah bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk ancaman ketenteraan.

Bagi memberi sokongan moral, beliau berjanji akan menghubungi kesemua 34 sukarelawan Malaysia dalam misi berkenaan pada Khamis.

“Mereka memang telah bersedia untuk menghadapi serangan. Esok saya sendiri akan bercakap dengan semua 34 rakyat Malaysia yang berada di kapal flotilla,” jelasnya.

Misi GSF membawa mesej solidariti antarabangsa bagi menamatkan kepungan kejam Israel dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang terputus bekalan asas.

BBerkaitan

Latest articles