Kerjasama yang dipupuk sempena mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu sehingga memenangkan Pakatan Harapan (PH) menjadi penyebab sokongan berterusan Presiden Amanah, Mohamad Sabu terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah meskipun bekas perdana menteri itu mengambil haluan berbeza dengan tidak lagi bersama PH, sejak kejatuhan kerajaan itu pada Februari lalu, Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu enggan menghentam Dr Mahathir.
Memetik kenyataannya hari ini, Mat Sabu berkata menjadi prinsipnya apabila sudah bergabung dengan seseorang, amat sukar baginya untuk berpisah, disebabkan lamanya perhubungan sesama mereka dan kesamaan titik perjuangan.
“Selepas saya mengenali Dr. Mahathir dan dia mengenali saya, masakan saya hendak memaki hamun beliau.
“Begitu juga dalam PH yang menggabungkan tiga parti, Amanah, DAP dan PKR.
“Hubungan saya dalam PH khususnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah hubungan yang lama sejak 20 tahun yang lalu, sama-sama bersusah payah dalam perjuangan yang sama.
“Ianya mesti dipertahankan, di sebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing-masing yang boleh diperbaiki,” katanya.
Mat Sabu berkata beliau perlu membangkitkan isu itu kerana ada suara menasihatkan beliau supaya tinggalkan Dr. Mahathir dan menghentamnya kerana sudah berlainan aliran politik.
Amanah, sebelum ini turut dihimpit dilema sokongan sama ada kepada Anwar atau Dr Mahathir sehingga menyebabkan beberapa wakil rakyatnya bertindak keluar parti bagi menyokong Presiden PKR.
Tindakan beberapa pemimpin Amanah yang dilihat mesra dan ingin kembali mengadakan kerjasama politik bersama Dr Mahathir dilihat meresahkan ahli-ahli dan penyokong parti.
Sedangkan Amanah telah mengambil ketetapan untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri dalam usaha mendapatkan semula mandat rakyat.
Malah, bekas Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa pernah didakwa ‘perang dingin’ dengan Mat Sabu, dipercayai tidak bersetuju dengan usaha bekerjasama dengan Dr Mahathir.
Husam pernah diura-urakan bakal menyertai PKR, namun bagaimanapun bertindak meletak jawatan di dalam parti.
Ditanya adakah beliau ingin menurut kehendak beberapa pihak untuk menghentam Dr Mahathir, ini jawapan Mat Sabu:
“Saya katakan tidak,” tegasnya.
Ap yang lebih utama baginya adalah kesatuan serta persahabatan dan pada masa sama, beliau sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan.
“Inilah sikap saya,” katanya.
Mengimbas sejarah perjuangan dalam politik, Mat Sabu berkata, agar sukar pada awalnya untuk beliau bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan kumpulannya yang menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan hendak bekerjasama dengan PAS.
Katanya, beliau lebih cenderung bekerjasama dengan parti Islah, tetapi apabila PAS membuat keputusan bekerjasama dengan S46, beliau mendokong keputusan itu dan bekerja keras termasuk berceramah ke seluruh negara sepentas dengan Tengku Razaleigh.
Malah pada tahun 1999, apabila PAS hendak bekerjasama dengan Parti Keadilan Nasional dalam Barisan Alternatif (BA), beliau tidak bermasalah kerana yang memimpin parti itu adalah mereka yang pernah terlibat dalam gerakan belia termasuk ABIM, tokoh akademik dan gerakan sivil serta veteran politik tanah air.
“Ketika berlawan dengan BN yang dipimpin Dr. Mahathir, kita lawan bersungguh-sungguh sehingga ditahan ISA sebanyak dua kali pada tahun 1984 hingga 1986 dan tahun 1987 hingga 1989.
“Pelbagai kata dan hentaman telah saya tujukan kepada Dr. Mahathir dalam ucapan-ucapan ketika melawan BN dan bekas Perdana Menteri ketika itu.
“Tetapi apabila beliau menubuhkan Gerakan Selamatkan Malaysia dan seterusnya menubuhkan Parti Bersatu untuk melawan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak, serta menghulurkan tangan untuk bekerjasama, kita terus bekerjasama dan bergabung di bawah PH.
“Seperti saya katakan, apabila kita bergabung, untuk berpisah adalah sukar. Kita sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam dan ianya membuahkan kejayaan,” katanya.