Suhaimi Mahu Kampus UniKL Diwujudkan DI Sandakan

SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir mahu kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) diwujudkan di Hab Pendidikan Sandakan.

Beliau berkata, ia sebagai satu lonjakan strategik bagi masa depan pendidikan dan pembangunan ekonomi di pantai timur Sabah.

Katanya, sudah tiba masanya Sandakan tidak lagi bergantung kepada limpahan pembangunan dari luar, sebaliknya memimpin agenda transformasi wilayah melalui institusi pendidikan tinggi bertaraf nasional.

“Sandakan memerlukan pusat pendidikan tinggi berskala nasional bagi menutup jurang akses pendidikan berkualiti.

“Tanpa institusi seperti UniKL, bakat-bakat muda akan terus berhijrah dan ekonomi tempatan kekal dalam kitaran tenaga kerja sederhana,” katanya pada Ceramah Perdana di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni, di sini, hari ini.

Suhaimi berkata, cadangan tersebut turut menerima sokongan penuh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang bersedia mempertimbangkan penubuhan UniKL di Sandakan.

Beliau berkata, komitmen itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Sandakan sebagai calon pusat kecemerlangan akademik dan TVET bagi Sabah Timur.

“Kehadiran UniKL bukan sekadar penambahan institusi baharu, tetapi sebuah intervensi struktur penting untuk melonjakkan mobiliti sosial, kemajuan ekonomi serta pembentukan modal insan berkualiti.

“Cadangan penubuhan kampus UniKL itu juga selaras dengan agenda Malaysia Madani serta usaha memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal (TVET) nasional,” katanya.

Suhaimi turut menyatakan komitmen jelas bahawa usaha membawa UniKL ke Hab Pendidikan Sandakan akan menjadi keutamaan dasar sekiranya beliau diberi mandat oleh rakyat Sungai Sibuga

BBerkaitan

Latest articles