Suhaimi Enggan Selesa Terlalu Awal, Mahu Kerja Keras Tawan Pengundi

SANDAKAN : Reaksi pengundi Libaran yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlangsung bukan jaminan kemenangan buat parti itu.

Calon BN Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata jentera BN tidak boleh selesa dan berhenti setakat itu sahaja, sebaliknya perlu menggandakan gerak kerja sehingga hari mengundi pada 19 November ini.

Malah, beliau akan memastikan tiada satu pun kelompok masyarakat di Libaran yang tercicir daripada disantuni dan dilawati.

“Sehingga ke hari ini, kita sudah lawati hampir ke semua kawasan cuma di ada beberapa pulau termasuk Libaran, Nunuyan dan Pamaguan.

“Semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga telah kita lawati kecuali terdapat beberapa kelompok kecil masyarakat yang akan kita temui selepas ini.

“Dalam masa terdekat juga, kita akan santuni anak muda. Kita mahu meminta sokongan setiap pengundi Libaran kerana setiap undi adalah berharga,” katanya kepada media selepas Program BN Libaran Bersama Datuk Seri Bung Moktar Radin di Markas Operasi BN Libaran, di sini pada Sabtu.

Suhaimi yakin gerak kerja jentera Libaran bersama rakan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti komponen BN akan memastikan kemenangan bergaya di Libaran pada PRU-15.

“Saya rayu demi masa depan rakyat Libaran. Kita tidak mahu salah pilih dan mengulangi apa yang terjadi pada pilihan raya umum lepas.

“Jadi saya seru jentera BN dan GRS untuk bergabung tenaga seerat mungkin. Jangan sampai ada dusta diantara kita,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata rakyat Libaran beruntung kerana Suhaimi selaku calon adalah seorang yang rajin bekerja dan sering turun padang.

Beliau menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada Suhaimi, namun mahu jentera BN dan GRS tidak mengambil mudah peluang yang ada.

“Saya juga berharap agar peluang dan potensi BN memenangi kerusi Libaran akan turut dikecapi di kawasan lain termasuk Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan sebagainya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles