Suhaili Nafi Dirinya Disogok, Dipaksa Untuk Sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa empat ahli parlimen Bersatu dipaksa untuk menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dinafikan sekeras-kerasnya oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.

Tegasnya tiada eleman paksaan, ugutan dan sogokan keatas mereka semata-mata mahu beralih sokongan.

Beliau turut menepis dakwaan terdapat seorang individu berpangkat Datuk menjadi dalang utama memujuk empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Membuat dakwaan empat ahli parlimen Bersatu telah didatangi oleh seseorang individu dengan gelaran Datuk Botak, yang kononnya memberikan tekanan seperti mengugut, menjanjikan projek-projek dan memberi habuan wang tunai untuk sokong Perdana Menteri, terutamanya kepada diri saya – semua itu adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Dr Suhaili berkata, sokongannya kepada Perdana Menteri demi memastikan kelangsungan rakyat di kawasan Parlimen Labuan.

“Saya ingin mengulangi bahawa sokongan saya kepada Perdana Menteri adalah sukarela dan tanpa sebarang desakan atau tekanan.

Baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal menerusi satu sidang akhbar mengatakan bahawa ada seorang individu berpangkat Datuk menjadi dalang utama memujuk empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional untuk beralih arah, menyokong pimpinan Perdana Menteri,” ujarnya.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytihar menyokong Anwar iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Suhaili (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

BBerkaitan

Latest articles