‘Sugar Baby’ Punca Rumah Tangga Berkecai

Keinginan lelaki kepada ‘pucuk muda’ yang pandai melayan dan faktor kestabilan serta kewangan menjadi pendorong kepada mereka untuk memiliki ‘sugar baby’.

Ketua Jabatan Kawalan Peribadi dan Penyiasatan Persendirian Tun Security Services, Hafize Adnan berkata aktiviti ‘sugar baby’ dan ‘sugar daddy’ juga menjadi punca keruntuhan sesebuah rumah tangga sehingga memaksa si isteri mendapatkan khidmat agensi penyiasat persendirian untuk mengumpul bukti.

Hafize memaklumkan pihaknya telah mengendalikan kira-kira 50 kes membabitkan isu sugar baby sejak hampir 10 tahun lalu.

Katanya, dianggarkan 80 peratus pelanggannya membabitkan golongan isteri yang mengesyaki pasangan mereka curang dan memiliki perempuan simpanan.

“Khidmat agensi ini biasanya digunakan untuk mendapatkan bukti kecurangan pasangan selain bagi tujuan tuntutan dan proses kes penceraian.

“Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes seumpama ini, boleh disimpulkan bahawa sugar daddy adalah di kalangan lelaki sudah berkahwin untuk tempoh masa lama namun masih mencari peluang keseronokan di luar.

“Majoriti sugar daddy berusia antara 40-an hingga 50-an ini memberi alasan klise iaitu kurang diberikan perhatian oleh isteri serta menginginkan lebih kasih sayang,” katanya memetik wawancara bersama Harian Metro, hari ini.

Malah banyak sebilangan lelaki, memiliki sugar baby juga dianggap simbol kekukuhan kewangan, menggambarkan imej lelaki berjaya serta ‘keperluan’ gaya hidup mewah.

“Golongan sugar daddy ini bukan hanya di kalangan ahli perniagaan sahaja, malah turut membabitkan ahli politik, penjawat awam berpangkat tinggi serta pegawai tinggi syarikat swasta,” katanya.

Mengulas berhubung kriteria golongan sugar baby, beliau berkata, ia seringkali membabitkan golongan wanita muda berusia antara 21 hingga 35 tahun.

“Agak menyedihkan apabila kebanyakan mereka ini terpelajar dan dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

“Selain itu, ada juga antara mereka golongan eksekutif syarikat swasta serta selebriti. Namun bilangan mereka tidak seramai golongan penuntut IPT yang terjebak dengan aktiviti tidak bermoral ini.

“Berdasarkan pengamatan saya, sugar baby memiliki ciri-ciri tertentu iaitu penampilan serta perwatakan menarik terutama daripada segi paras rupa selain pandai bergaya,” katanya.

Ujarnya kebanyakan hubungan antara sugar daddy dan sugar baby bermula melalui media sosial atau hubungan pekerjaan.

“Malah ada juga perkenalan ini menyerupai multi level marketing apabila mereka diperkenalkan sugar baby kepada rakan-rakan lain.

“Dalam hubungan seperti ini, si lelaki hanya memerlukan teman manakala si wanita memerlukan wang. Konsep ini sama seperti wujudnya permintaan dan adanya bekalan.

“Saya tidak nampak wujudnya perasaan sayang atau cinta serius dalam hubungan ini. Ia hanya lebih kepada nafsu dan seks,” katanya.

Kebanyakan sugar baby boleh dikenal pasti melalui penampilan, perwatakan serta cara mereka bersosial yang dilihat seperti kelas atasan sekali gus membezakan mereka dengan pelacur murahan.

“Secara umumnya, sugar baby membabitkan tiga kategori iaitu gred A, B dan C meskipun semua kategori ini mempunyai persamaan iaitu penampilan cantik, bijak, mahir berkomunikasi, berdikari, bergaya serta pandai melayan kehendak lelaki.

“Bagi sugar baby gred A, kebanyakan mereka di kalangan eksekutif swasta, wanita berkerjaya serta golongan selebriti berusia bawah 35 tahun. Mereka mendapat imbuhan antara RM8,000 hingga RM15,000 sebulan tidak termasuk tanggungan rumah serta kereta selain perbelanjaan beli-belah dan melancong.

“Sugar baby gred B pula merangkumi graduan berusia antara 23 hingga 28 tahun yang mempunyai sedikit pendedahan mengenai dunia luar dengan imbuhan diberikan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan manakala bagi gred C adalah penuntut berusia antara 18 hingga 23 tahun yang diberi imbuhan antara RM500 hingga RM1,500 sebulan memandangkan jumlah perbelanjaan mereka masih rendah,” katanya.

Malah ada dalam kalangan wanita menjadikan aktiviti ‘sugar baby’ sebagai kerjaya tetap memandangkan mampu bergaya mewah dan hidup yang selesa.

“Namun peningkatan usia dan hilang komitmen menyebabkan hubungan ini terkubur begitu sahaja.

“Belum ada kes yang kami kendalikan menyaksikan sugar baby dijadikan sebagai pasangan sah kepada ‘sugar daddy’ memandangkan hubungan itu wujud atas dasar keseronokan serta tiada komitmen.

“Malah, kebiasaannya si suami akan memutuskan hubungan itu dan kembali semula kepada pasangan yang sah selepas ‘hubungan gelap’ ini dibongkar. Malah, kebanyakan si isteri ini akan menerima semula suami mereka,” katanya.

Masalah kewangan dihadapi penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menjelaskan yuran pengajian, keperluan asas serta terikut gaya hidup mewah dipercayai punca lonjakan lebih 40 peratus pendaftaran baharu di platform temu janji Sugarbook.

Perkara itu didedahkan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook Darren Chan yang memaklumkan aktiviti perkenalan antara penuntut IPT dan lelaki berkerjaya meningkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu semua IPT terpaksa ditutup dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian.

“Bagaimanapun banyak keluhan daripada penuntut memaklumkan bayaran yuran pengajian IPT masih sama seperti ketika pembelajaran secara bersemuka sekali gus menyebabkan sesetengah keluarga penuntut berdepan kesukaran bagi membuat pembayaran.

“Berdasarkan data yang kami peroleh, seramai 14,433 pendaftaran untuk menjadi sugar baby diterima membabitkan penuntut di 10 IPT di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah IPT awam,” katanya.

Beliau berkata, purata umur sugar daddy di Malaysia yang berdaftar dengan platform temu janji berkenaan adalah 35 tahun manakala majoriti golongan sugar baby berusia sekitar 23 tahun.

“Pelbagai latar belakang kerjaya golongan sugar daddy termasuk di kalangan ahli perniagaan, jurutera, peguam, doktor serta pegawai eksekutif dengan purata pendapatan RM150,000 setahun.

“Purata imbuhan bagi sugar baby di Malaysia di kalangan model sambilan, pelayan, jururawat dan pembantu peribadi pula adalah sebanyak RM2,500 sebulan,” katanya.

Sementara itu, laman sesawang temu janji terbesar di dunia, SeekingArrangement mendedahkan bahawa Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia dengan pembabitan 42,500 sugar daddy di belakang Indonesia yang mempunyai 60,250 individu berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SeekingArrangement Brandon Wade berkata, berdasarkan tinjauan pihaknya, India mengungguli senarai 10 negara teratas di Asia dengan 338,000 atau 61 peratus daripada jumlah keseluruhan 556,000 sugar daddy di rantau ini.

Menurutnya, negara yang mempunyai kadar pendidikan tinggi terbukti lebih rentan terhadap aliran ini berikutan pelajar dibebani hutang termasuk Malaysia yang dikatakan mencatat hutang tertunggak pinjaman pelajar sebanyak RM39 bilion pada 2018.

“Jurang antara kaya dan miskin di Asia yang semakin melebar dalam dua dekad terakhir mendorong lebih banyak wanita mencari lelaki yang lebih tua atas pelbagai alasan.

“Ekonomi Asia yang berkembang pesat turut menarik banyak pelabur asing untuk melebarkan perniagaan mereka di rantau ini.

“Justeru, tidak menghairankan Asia menjadi kancah temu janji bagi sugar daddy dan sugar baby terutama dalam kalangan penduduk bandar,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles