Sudah Tahu Musim Banjir, Tak Perlu Bercuti Ke Luar Negara

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu lebih bersedia menghadapi musim banjir dan bercuti ke luar negara misalnya bukanlah keputusan terbaik ketika rakyat ditimpa musibah.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mengulas permohonan maaf Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Ahmad Zahid, banjir pada musim tengkujuh di Pantai Timur boleh dijangka kerana perubahan monsun yang melibatkan faktor semula jadi dan geografi.

Dengan bencana yang berlaku itu, sudah pasti keprihatinan pemimpin dituntut dan dinilai oleh rakyat.

Semalam, Ahmad Samsuri memohon maaf kepada seluruh rakyat Terengganu kerana berada di luar negara ketika waktu kemuncak negeri itu dilanda gelombang kedua banjir.

Beliau mengaku apa pun penjelasan yang diberikannya, ia tidak akan dapat membetulkan keadaan bahawa beliau tiada di sisi rakyat Terengganu ketika mereka ditimpa kesusahan ekoran bencana alam itu.

Ahmad Samsuri menjelaskan, beliau mengambil keputusan untuk meneruskan perjalannnya ke luar negara setelah banjir gelombang pertama yang berlaku pada 8 Disember hingga 17 Disember lepas mulai reda, namun tempoh kemuncak banjir gelombang kedua berlaku ketika beliau sudah berada di luar negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, faktor manusia juga boleh menjadi faktor penyebab banjir besar boleh berlaku disebabkan itu terdapat kawasan yang tidak pernah dilanda banjir besar kini turut dilanda banjir besar.

Kerakusan pembalakan haram dan penerokaan hutan secara tidak terkawal mengakibatkan ekosistem terjejas teruk hingga kawasan tadahan hujan hilang fungsi.

Kesemua ini menuntut kesedaran bersama untuk menstabilkan kembali ekosistem alam ini, kata Zahid.

”Ya, Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) memang dalam keadaan bersiap siaga 24 jam. Nadma ada kepakaran dan kelengkapan walaupun masih ada lagi untuk ditambahbaik. Komitmen Nadma sangat baik dan berprestasi tinggi. Nadma mendapat peruntukan tambahan RM400 juta bagi kesiapsiagaan banjir hujung tahun ini.

”Namun apabila berlakunya banjir besar ia akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan hasil tanaman dan ternakan, kerosakan harta benda dan boleh memusnahkan kemudahan infrastruktur yang ada.

”Mangsa banjir kehilangan rasa kebahagiaan, mengalami trauma, kenderaan rosak dan perlu dibaiki dan menyebabkan pendapatan terjejas malah hilang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Situasi ini menyebabkan indeks kebahagiaan hidup merudum dan kesejahteraan hidup terjejas.

Ahmad Zahid berkata, yang paling asas, sistem saliran dan perparitan perlu lebih terjaga termasuk aspek pendalaman agar diselenggarakan lebih baik agar tidak berlaku takungan air, tidak tersumbat dan sebagainya.

Ini penting agar tidak berlaku banjir kilat mahupun banjir besar di desa mahupun perumahan di kota.

Tegas beliau, budaya menyelenggarakan seumpama ini sepatutnya menjadi amalan budaya kerja harian dan bukannya apabila berlaku banjir barulah diberikan perhatian.

BBerkaitan

Latest articles