Sudah-Sudahlah Sandiwara Konon Masih Sayang UMNO

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berasa hairan dengan pengakuan beberapa pemimpin politik yang mendakwa masih sayangkan UMNO meskipun telah memilih haluan berbeza.

”…mulalah mengakui UMNO banyak berjasa, UMNO itu… UMNO ini… dan masih nama UMNO juga dijaja dalam pentas politik mereka biarpun mereka bukan lagi ahli UMNO. Apa rasa… tentulah seakan sebuah sandiwara semasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tanpa menyebut nama, sindiran Tengku Adnan atau lebih mesra disapa Ku Nan itu dipercayai dituju kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa dirinya masih berasa sayang terhadap UMNO.

Dalam satu wawancara bersama Sinar Harian minggu lalu, Dr Mahathir berkata dirinya bersedia untuk kembali semula kepada UMNO asalkan parti itu menetapkan semula perjuangannya demi agama, bangsa dan negara serta menyingkirkan beberapa pemimpin parti yang disifatkannya sebagai bermasalah.

Sementara itu Ku Nan berkata, beliau rasa kelakar apabila ada individu yang dulu melompat meninggalkan UMNO sewaktu UMNO hilang kuasa majoriti membentuk kerajaan tapi hari ini mula bersuara ‘manis’.

Beliau turut menempelak segelintir pihak yang tak henti-henti menyentuh tentang UMNO hinggakan menggesa supaya memaklumkan apa-apa keputusan mesyuarat kepimpinan UMNO sedangkan mereka ini bukan ahli UMNO.

Begitu juga dengan sesetengah pihak yang membandingkan pentadbiran kerajaan hari ini mahupun sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan zaman Barisan Nasional (BN).

”Tak apalah, kan tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi tempat yang telah menaikkan nama dan jadi batu loncatan mereka untuk mendapat kuasa.

“Mereka ini bersama UMNO dan mengaku orang UMNO sewaktu parti berada dalam kejayaan, kecemerlangan dan gemilang bukan saja dalam negara malah dipersada antarabangsa, tapi meninggalkan UMNO malah ada yang menjadi sekutu menjatuhkan kerajaan BN lantaran rasa tak puas hati terhadap UMNO,” tegas beliau.

Sementara itu Ku Nan menegaskan mana-mana pemimpin yang hendak kembali menyertai UMNO perlu masuk bengkel atau kelas dahulu bagi memahami asas dan tujuan penubuhan parti itu.

Ini bertujuan supaya mereka memahami dan menghayati setiap nilai perjuangan parti ini kerana tidak adil kepada mana-mana individu untuk berpatah balik semudah membuat u-turn di atas jalan raya.

Meskipun suhu dan suasana politik sentiasa berubah, namun ketegasan terhadap mereka yang bermuka-muka perlu dilaksanakan, dan tidak mudah untuk mengangkat golongan ini kembali sebagai peneraju parti.

Walhal anggota yang kekal bersetia saat susah dan senang hanya memandang dan diminta menerima.

”Memang, kita perlu kembali berpadu demi agama dan bangsa, kita mesti teguh dan kukuh, kita bersaudara dan tidak perlu bermusuhan, tetapi setiap masa yang berlalu selepas tarikh 9 Mei 2018 bukanlah satu kemanisan dan mesti dinilai dengan kesetiaan dan pengorbanan.

”UMNO ditekan, dihimpit, dinafikan dalam pelbagai aspek. Akaun dibekukan dan mana-mana pemimpinnya yang masih setia pada perjuangan hakiki diheret ke mahkamah atas macam-macam pertuduhan yang ada diantaranya di luar kewarasan akal fikiran.

”Tuduhan tanpa asas tiba-tiba menjadi realiti. Sakit perit tapi patah sayap tetap bertongkat paruh kerana percaya bahawa asas perjuangan adalah demi Lillahi Taala,” katanya.

Ku Nan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menyifatkan tempoh yang dilalui UMNO sepanjang menjadi pembangkang selepas PRU14 dan menjadi sebahagian kerajaan PN pada hari ini memberikan parti itu pelbagai pengajaran dan pelajaran yang boleh dijadikan tauladan.

”Siapa sebenarnya pejuang sebenar untuk agama, bangsa dan negara… siapa pula petualang yang menjadi bahana hinggakan rakyat duka lara… tapi masih nama UMNO juga dipalitkan.

”Sungguh, UMNO terbukti parti keramat. UMNO menaikkan nama seseorang individu dari orang biasa menjadi pemimpin ternama hinggakan ada yang menjadi negarawan, tapi kerana ketidakpuasan rasa, UMNO juga djadikan alat kebencian dan cuba dipersalahkan atas pelbagai kesalahan peribadinya,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles