Sudah-sudahlah Kaitkan UMNO Dengan Rasuah

KUALA LUMPUR: Beberapa nama pemimpin UMNO yang dikaitkan dan dituduh dengan kes rasuah di mahkamah tidak boleh menggambarkan keseluruhan parti itu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pertuduhan yang dikenakan terhadap pemimpin berkenaan adalah membabitkan perbuatan mereka sebagai individu dan tidak mencerminkan tiga juta ahli parti itu juga sebagai perasuah.

“Dari segi pemimpin yang rasuah dan sebagainya, ia tidak babitkan parti tetapi individu. Individu yang ada kes diambil tindakan, dan ia dikenakan terhadap individu. Ia tidak mengatakan parti UMNO itu rasuah.

“Suatu ketika dahulu ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang ditangkap berkaitan dengan kegiatan komunis. Yang ditangkap jadi komunis adalah daripada beberapa pemimpin.

“Ada tiga pemimpin ketika itu. Tetapi UMNO tidak pernah menjadi komunis. Itu bezanya,” katanya ketika temu bual dalam Ruang Bicara Khas di Bernama TV, hari ini.

Sebelum ini wujud cakap-cakap bahawa UMNO tidak lagi relevan untuk memimpin negara ini lantaran beberapa pemimpin UMNO terpalit kes rasuah.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengulangi pendirian tidak akan campur tangan dalam kes membabitkan pemimpin UMNO atau urusan mahkamah lain dan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Polis bebas menyiasat sesiapa sahaja dan tidak ada campur tangan daripada kerajaan bila (pesalah) dihadapkan ke mahkamah, mereka perlu menghadapi mahkamah secara bersendirian dan tidak boleh heret parti bersama dalam isu berkaitan dengan mereka,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pendirian itu membezakan UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) yang menggugurkan kes mahkamah membabitkan pimpinannya ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Antaranya, kata Ismail Sabri, membabitkan kes bekas Menteri Kewangan yang juga Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa.

“Cuba bayangkan pemimpin besar kita Datuk Seri Najib Razak, bekas Perdana Menteri, bekas pengerusi Barisan Nasional (BN), bekas presiden UMNO, tetapi bila berdepan kes mahkamah, keputusan kerajaan ialah tidak campur tangan dalam urusan mahkamah.

“Kita kotakan apa yang kita cakap. Inilah beza antara mereka (PH) dengan BN. Mereka cakap seolah-olah pejuang hak asasi, menghormati kedaulatan undang-undang, tetapi merekalah yang melanggar segala yang dijanjikan untuk mengangkat martabat sistem perundangan, kehakiman dan sebagainya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles