KUALA LUMPUR: Kehilangan seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jementah, Hamdan Hamzah, sejak Isnin lalu masih menjadi tanda tanya apabila usaha pencarian yang giat dijalankan oleh pihak berkuasa dan penduduk kampung masih belum membuahkan hasil.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, pelbagai kaedah digunakan untuk menjejaki guru berusia 46 tahun itu, termasuk melalui kenalan rapatnya, namun sehingga kini tiada sebarang petunjuk baharu diperoleh.
“Setakat ini, masih tiada perkembangan mengenai keberadaan cikgu Hamdan. Kami sedang mengumpul maklumat, termasuk menyiasat kemungkinan kehilangan ini berkaitan dengan masalah peribadi yang dihadapinya,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, jiran Hamdan, Junaidah Samsudin, 60, berkata penduduk FELDA Kemelah hanya mengetahui tentang kehilangan guru tersebut selepas berita itu tular di media sosial.
Menurutnya, sehari sebelum Hamdan dilaporkan hilang, dia sempat menghadiri majlis kenduri doa selamat yang diadakan di rumahnya.
“Pada hari itu, motosikalnya masih ada di rumah. Tiba-tiba, kami dikejutkan dengan berita dia hilang dan sehingga hari ini belum ditemui.
“Dia pernah mengeluh malas hendak mengajar, tapi tetap pergi ke sekolah seperti biasa. Guru besar dan rakan-rakan sekerjanya pun hairan apabila dia tidak hadir ke sekolah,” katanya.
Penduduk kampung juga turut membantu pencarian dengan menyusuri laluan yang biasa digunakan Hamdan untuk ke sekolah. Selain itu, kariah masjid turut mengadakan solat hajat bagi memudahkan usaha mencari guru berkenaan.
“Ada penduduk yang mendengar khabar bahawa keluarganya mencari hingga ke Melaka, mungkin dia menuju ke sana.
“Hamdan tidak pernah hilang sebelum ini, jadi kami semua terkejut. Kami berharap dia dapat ditemui dalam keadaan selamat,” tambahnya.
Hamdan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya dengan menunggang motosikal pada jam 5.15 pagi Isnin lalu untuk ke sekolah, namun tidak pernah pulang sejak itu.
Kehilangannya disedari oleh ahli keluarga sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Tenang pada Rabu.