KUALA LUMPUR: Identiti individu yang dikenali sebagai Mr H telah dimajukan kepada pegawai penyiasat ketika proses rakaman keterangan petang tadi.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff juga memberitahu beliau telah membuat satu lagi laporan polis berhubung penularan video perbualan yang dikatakan miripnya dengan seorang kakitangan jabatan berkenaan.
“Saya sudah berjumpa dengan pegawai penyiasat sebentar tadi dan sudah selesai diambil keterangan oleh pegawai penyiasat kes ini.
“Saya juga sudah mendedahkan kepada mereka siapa individu “Mr H’ untuk membantu siasatan lanjut pihak polis.
“Saya juga ada buat laporan polis berkaitan (video) Tik Tok tular pagi ini terhadap Raja Petra berkaitan dengan laporan polis saya sebelum ini terdedah dengan maklumat peribadi yang dikira boleh membahayakan keselamatan diri dan keluarga saya,” katanya katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Khamis lalu satu video yang memaparkan perbualan intim antara dua orang lelaki tular menerusi media sosial.
Salah seorang lelaki di dalam video itu mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Susulan itu Mohammad Agus membuat satu sidang media pada malam Jumaat lepas, dimana beliau mendakwa kandungannvideo itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Sementara itu Muhammad Agus memaklumkan dirinya tidak tahu bilakah pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani akan membuat laporan polis berhubung video tular itu.