JOHOR BAHRU: Suasana Konvensyen Keadilan Johor bertukar panas apabila ucapan Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan, tiba-tiba diganggu oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim ketika sedang berucap di atas pentas.
Kejadian itu berlaku ketika Ramanan sedang menyampaikan ucapan yang mengandungi kritikan terbuka, dipercayai ditujukan kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Tidak lama kemudian, Hassan dilaporkan bangkit dan menjerit ke arah pentas, sekaligus mencetuskan suasana tegang dalam dewan.
Insiden berkenaan berlaku ketika konvensyen tertutup itu berlangsung di Johor Bahru, malah siaran langsung acara tersebut turut disenyapkan sejurus kekecohan bermula.
Lebih mencuri perhatian, konvensyen itu turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadikan insiden berkenaan menjadi tumpuan dalam program tersebut.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ramanan menegaskan kepentingan kesatuan parti dan memberi amaran agar perbalahan dalaman tidak terus melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Beliau turut menegur sikap segelintir pihak yang dilihat gemar mengkritik parti secara terbuka sehingga memberi ruang kepada lawan politik untuk mengambil kesempatan.
“Ini bukan masa untuk berbalas kenyataan di luar. Perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara dalaman demi kekuatan parti,” katanya dalam nada tegas.
Menurut beliau lagi, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kestabilan politik perlu dipertahankan dan ia bermula dengan perpaduan dalam parti sendiri.
Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia menggesa jentera parti di Johor supaya memperkemas strategi, memperkukuh organisasi dan bergerak secara tersusun bagi memastikan kemenangan memihak kepada PKR.










