JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang sudah berkeluarga ditahan selepas dipercayai menjalin hubungan terlarang dengan seorang wanita warga asing dalam serbuan operasi khalwat di sebuah hotel sekitar bandar raya ini, malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), lelaki berusia 30 tahun itu difahamkan tinggal berjauhan dengan isteri serta anak-anaknya yang berada di negeri lain.
“Wanita terbabit pula dipercayai seorang pelacur yang masuk ke negara ini menggunakan pasport lawatan sosial dengan rekod keluar masuk setiap bulan,” kata JAINJ.
Siasatan lanjut mendapati, wanita berkenaan menawarkan perkhidmatan seks berbayar melalui media sosial dengan berselindung di sebalik iklan ‘tukang urut’.
Modus operandi itu membolehkannya mencari pelanggan berdekatan dengan hanya menggunakan aplikasi internet.
JAINJ menegaskan, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tidak bermoral yang mencemarkan imej negeri.