Suami Sahkan Pemergian Nadia Kesuma Di Jeddah

KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon Nadia Kesuma disahkan oleh suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, melalui satu hantaran menyentuh perasaan di Facebook, awal pagi tadi.

Dalam kenyataan itu, beliau memaklumkan isterinya, yang nama penuhnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, menghembuskan nafas terakhir di Jeddah pada jam 8.07 pagi, Khamis lalu.

Muhammad Kamarul meluahkan rasa dukacita yang amat mendalam atas kehilangan insan tersayang dan memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan roh isterinya.

“Dengan penuh rasa hiba, saya memaklumkan bahawa isteri tercinta telah kembali ke rahmatullah dengan tenang di tanah para anbiya, Jeddah, pada 15 Januari jam 8.07 pagi. Semoga Allah mengampuni dosa arwah dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas rohnya,” tulisnya.

Beliau turut menitipkan luahan peribadi buat arwah, menyifatkan isterinya akan sentiasa hidup dalam ingatannya dan menyatakan rasa syukur kerana berpeluang menemani arwah ke destinasi terakhir.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan punca kematian Nadia dalam hantaran tersebut.

Sebelum ini, Nadia dilaporkan hilang selepas penerbangannya dari Kuala Lumpur ke London, United Kingdom, yang singgah transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah.

Isu itu mencetuskan kebimbangan ramai pihak sehingga Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengesahkan bahawa beliau telah meninggalkan lapangan terbang berkenaan.

Dalam perkembangan terdahulu, Muhammad Kamarul turut merayu kerajaan Malaysia agar mempergiat usaha diplomatik dengan pihak Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.

Difahamkan, Nadia menyertai rombongan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan yang melibatkan 21 peserta bermula 14 Januari lalu untuk tempoh dua minggu.

Mengimbas peribadi arwah, Muhammad Kamarul menyifatkan isterinya sebagai wanita yang taat, penyayang, ikhlas dan setia.

“Ya Allah, Engkau telah menjanjikan syurga bagi mereka yang mentaati suami. Arwah telah menunaikan tanggungjawabnya kepada-Mu, maka sempurnakanlah janji-Mu kepadanya,” tulis beliau penuh sebak.

BBerkaitan

Latest articles