BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki tempatan termasuk suami kepada mangsa pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru, dibebaskan dengan jaminan mahkamah hari ini selepas direman selama seminggu bagi membantu siasatan.
Kedua-dua lelaki berusia 45 dan 57 tahun itu masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin tempatan selepas perintah dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, pagi tadi.
Difahamkan, keputusan itu dibuat susulan perkembangan baharu siasatan apabila polis menahan tiga lelaki warga Nepal, termasuk suspek utama yang dipercayai terbabit secara langsung dalam pembunuhan tragik tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang sebelum ini mengesahkan ketiga-tiga suspek ditahan secara berasingan di Kulim, Kedah dan Selangor, selepas dipercayai cuba melarikan diri.
“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ringkas.
Terdahulu, suami mangsa yang memakai baju-T biru muda tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 9.40 pagi dengan tangan bergari, sebelum dibawa keluar kira-kira 11.15 pagi bersama seorang lagi lelaki yang turut dibebaskan.
Menurut ahli keluarga yang hadir, lelaki itu kini masih trauma dan enggan ditemu bual oleh pihak media.
Kejadian ngeri pada 18 Oktober lalu mengejutkan penduduk tempatan apabila Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru.
Sariya ditemukan di dapur dengan kesan kelar di leher hampir putus, manakala anak kecilnya pula ditemui di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bernyawa.
Mayat kedua-duanya ditemukan oleh suami mangsa sekitar jam 7.30 malam, sebelum pihak polis memulakan siasatan besar-besaran yang kini tertumpu kepada kumpulan pekerja warga asing dipercayai mengenali keluarga tersebut.










