Suami Pengasuh Kekal Dengan Hukuman Mati Akibat Bunuh Baby Zara

KUALA LUMPUR: Rayuan bekas seorang tukang gunting rambut atas tuduhan membunuh anak asuhan isterinya dikenali sebagai Baby Zara pada November 2018, ditolak Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Baby Zara atau nama sebenarnya, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal berusia 11 bulan ketika kejadian berlaku.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan hukuman mati terhadap Hazmi Majid.

Ketiga-tiga panel berpuas hati dengan hukuman itu kerana jenayah yang dilakukan oleh tertuduh dianggap kejam dengan laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan vagina bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.

Selain itu, mangsa yang hanya seberat 8.26 kilogram dan belum tumbuh gigi turut mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2021 telah menjatuhkan hukuman mati terhadap pelaku, kes itu kemudian dirayu tertuduh di Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu namun ditolak.

Mengikut pertuduhan, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh bayi itu di sebuah unit di Bandar Baru Bangi antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari enam tahun lalu.

Ketika prosiding, peguam mewakili tertuduh, T Vijayandran merayu hukuman itu diringankan memandangkan anak guamnya bawah pengaruh dadah.

Namun hujah itu ditolak oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi memandangkan ada tindak tanduk oleh perayu cuba menghapuskan bukti seperti membasuh tuala dengan hilangkan darah.

BBerkaitan

Latest articles