KUALA LUMPUR: PKR menerima lonjakan keahlian apabila seramai 14,225 anggota baharu menyertai parti itu dalam tempoh hanya empat bulan, bermula Oktober 2025 hingga Januari lalu.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung, Datuk Dr Fuziah Salleh susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan memaklumkan antara nama yang mencuri perhatian dalam senarai kemasukan terbaharu itu ialah Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby.
Turut menyertai PKR ialah Pengurus Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Hidayat Abdullah, sekali gus memperlihatkan kemasukan tokoh daripada latar belakang pertubuhan Islam ke dalam parti berkenaan.
Dalam perkembangan sama, MPP turut membuat beberapa pelantikan penting bagi memperkukuh struktur kepimpinan parti.
Antaranya, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, dilantik sebagai ahli ex officio MPP.
Selain itu, pendakwah terkenal, Muhd Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Haris, diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama parti.
Fuziah berkata, keputusan berkenaan merupakan sebahagian usaha memperkukuh organisasi dan memperluas sokongan parti.










