Suami Kelar Isteri Hingga Maut Didakwa Hari Ini, Hadir Ke Mahkamah Dengan Senyuman

MUAR: Seorang lelaki yang didakwa membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa di Taman Cahaya, Bukit Gambir minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh, Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 33, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Khairul didakwa membunuh isterinya, Iecah Junus, 33, antara jam 3.30 petang hingga 5.30 petang pada 2 Jun 2025 di kediaman mereka di Taman Cahaya, Bukit Gambir.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tertuduh tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 8.30 pagi dengan berpakaian lokap ungu dan dikawal ketat anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah.

Ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah, suspek dilihat tersenyum, sebelum dibawa menaiki kenderaan polis jenis SUV.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 8 Julai 2025 sebagai tarikh untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan keputusan ujian patologi dan DNA.

Dalam perkembangan berkaitan, tertuduh turut dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini untuk berdepan sembilan lagi pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, pertuduhan tambahan itu berkait dengan tindakan tertuduh yang didakwa membakar sembilan buah kenderaan di pekarangan rumah mentuanya di Kampung Pengkalan, Kampung Durian Chondong pada 3 Jun lalu.

BBerkaitan

Latest articles