BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki dipercayai suami kepada mangsa susulan penemuan mayat wanita dan anak perempuannya yang dibunuh di sebuah rumah sewa di Kampung Sekolah, Juru, malam tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata penahanan itu dilakukan bagi membantu siasatan, dan polis masih mengenal pasti motif serta suspek sebenar kejadian tragik tersebut.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat pagi ini.
Terdahulu, kedua-dua mayat dibawa keluar dari rumah sewa mereka sekitar jam 1.45 pagi selepas pasukan forensik dan patologi selesai menjalankan pemeriksaan di lokasi.
Polis turut melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan rumah bagi mencari bahan bukti yang boleh membantu siasatan.
Menurut sumber, mangsa wanita dipercayai berusia lingkungan 50-an, berasal dari Sik, Kedah, manakala anak perempuannya berusia 11 tahun.
Ahli keluarga turut hadir di lokasi, namun kawalan keselamatan ketat dikenakan bagi mengelakkan gangguan kepada siasatan.
Semalam, Bernama melaporkan suami mangsa menemui mayat isteri dan anaknya sebaik pulang ke rumah kira-kira jam 7.30 malam.
Wanita itu ditemui tidak bernyawa di bahagian dapur tingkat bawah, manakala anaknya dijumpai di tingkat atas rumah.