KUALA LUMPUR: Suami kepada model Zahnita Wilson mendakwa dirinya amat terkesan dengan kenyataan isterinya seperti yang dilaporkan di media berkenaan masalah rumah tangga mereka.
Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, 47, mendakwa apa yang dilemparkan Zahnita berkenaan dirinya adalah fitnah.
“Semua yang mengikuti dia (Zahnita) menganggap saya ni seorang yang ganas, ‘monster‘, lelaki pukul isteri dan melakukan aniaya kepada anak-anak. Ia tidak benar.
“Saya ni seorang ayah, saya hanya mahu menjaga kebajikan anak saya, terutamanya anak bongsu lelaki saya,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette, hari ini.
Dakwa Abdul Zackery, perselisihan faham antara mereka terjadi selepas dia memberi teguran kepada isterinya yang didakwa semakin kurang memberi perhatian terhadap anak lelaki bongsu mereka, Abd Zayden Ghouse, 4.
Tambahnya, anak tunggal lelakinya itu menghidap autisme dan memerlukan perhatian yang lebih, namun perhatian Zahnita dilihat semakin cenderung fokus untuk urusan perniagaan makanannya.
Malah masalah semakin meruncing apabila dirinya mendapat tahu Zahnita menyewa sebuah rumah berhampiran kawasan rumah mereka bagi tujuan memajukan perniagaan makanan itu dan merancang untuk berpindah keluar tanpa pengetahuannya.
“Oleh kerana anak, saya tegur perniagaan yang sedang dia buat. Saya rasa tak sesuai masanya sebab anak kita masih kecil dan memerlukan ibunya. Dia tahu kalau dia jalankan perniagaan daripada rumah ni, saya selalu tegur dia.
“Saya cuba untuk communicate dengan dia. ‘But it’s hard to talk to Zahnita. She’s very defensive. Setiap tahun pun ada dia minta saya ceraikan dia,” katanya lagi.
Turut hadir dalam sidang media hari ini adalah ibunya, Norazlina Abdullah, 71 serta anak sulungnya, Zahrafeena, 18 yang sedang menjalani peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Sementara itu, Norazlina menyangkal dakwaan Zahnita ada menghubunginya selepas kontroversi rumah tangga dengan anaknya itu baru-baru ini.
Katanya, Zahnita tidak pernah menghubunginya untuk meminta maaf seperti dikatakan bekas peragawati itu dalam temubual bersama sebuah portal berita pada 16 Disember 2024 lalu.
“Tiada sebarang panggilan dibuat. Saya juga hairan kenapa dia kata saya memberi respon tidak baik kepadanya. Saya yang beri resipi makanan yang dijual itu. Jahat sangat ke saya sampai dia kata begitu tentang saya?.
“Janganlah tipu kata ada telefon saya. Saya rasa sedih juga lah dengan perkara ini,” kata Norazlina lagi.