Status MN: UMNO Umum Kedudukan Kerjasama Tak Lama Lagi

 

 

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan parti itu akan membuat keputusan berkenaan status kerjasama bersama PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dibina sejak 2019 yang lalu.

 

 

“Biar parti buat keputusan. Kepimpinan macam presiden sudah beri pandangan. Kita akan bincang dalam mesyuarat Biro Politik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dapatkan pandangan dan nasihat apa yang dikatakan oleh presiden parti.

 

“Kita akan buat keputusan diperingkat parti. Saya harap mana-mana individu dari UMNO, tunggulah. Biarlah parti buat keputusan. Usah kelam kabut sangat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Wacana Aspirasi UMNO yang bertajuk “Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran”.

 

Baru-baru ini bekas Ahli Jawatankuasa PAS, Pusat Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menggesa PAS perlu memperakui bahawa UMNO beberapa kali memohon diteruskan rundingan kerusi tetapi parti yang dipimpin Tan Sri Abdul Hadi Awang itu tidak melayan dan mengabaikan permohonan tersebut.

 

 

“Mesyuarat induk MN wajar dihidupkan semula. Pasukan perunding kerusi tidak wajar dihentikan sekerat jalan. Kesilapan ini perlu dibetulkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook kelmarin.

 

Sementara itu dalam kenyataan lanjut, Mohamad berkata, pindaan perlembagaan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas Ahad ini dijangka diluluskan perwakilan dengan dua pertiga undi.

 

Menurut Mohamad, pindaan itu akan memberi pilihan kepada UMNO dalam menentukan tarikh pemilihan partinya.

 

 

Jelasnya dibawah fasal 10.1.6 Perlembagaan UMNO, parti hanya memiliki pilihan untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan dari tempoh tiga tahun seperti termaktub dalam fasal 10 perlembagaan UMNO.

 

“Selepas ini kita akan menambah klausa baru dalam fasal 10.1.6 iaitu (pemilihan parti boleh) dilanjutkan 18 bulan atau enam bulan selepas PRU. Kita ada pilihan,” katanya.

 

Mohamad berkata, beliau yakin pindaan perlembagaan UMNO itu akan diterima dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), memandangkan UMNO sudah mengikuti segala proses undang-undang seperti disyaratkan ROS.

 

Untuk rekod, UMNO dijadualkan mengadakan PAU Khas pada Ahad ini bagi meluluskan usul meminda fasal 10.1.6 Perlembagaan UMNO.

 

Pindaan itu bagi membolehkan parti itu menumpukan sepenuh usaha kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

 

 

Latest articles

Related articles

spot_img