Status Ajaran ‘Ibu Yati’ Akan Diputuskan Raja-raja Melayu

Majlis Raja-raja Melayu akan memutuskan status agama Melayu yang didakwa dibawa oleh Wan Noor Hayati Wan Alias atau ‘Ibu Yati’ tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata pihaknya juga telah selesai bermuzakarah bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri berhubung ajaran tersebut,

Keputusan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke 118 sudah pun diserahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu dan menunggu keputusan untuk diumumkan.

“Kita telah bincang dalam muzakarah pada minggu lepas. Saya tidak boleh komen lagi. Kita akan bawa ke Majlis Raja. Kita ada bincang,” katanya selepas mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam majlis penyerahan sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-YWN, di pejabatnya hari ini.

Untuk rekod, Dr Zulkifli sebelum ini dilaporkan berkata, JAKIM akan melakukan muzakarah sebelum memfatwakan sesuatu ajaran itu sebagai sesat atau sebaliknya.

Dalam mengeluarkan sesuatu fatwa, ia perlu dilakukan dengan amat berhati-hati bagi memastikan tindakan atau keputusan yang diambil kelak tidak dianggap gopoh atau kekurangan maklumat.

Agama Melayu yang didakwa dibawa oleh Ibu Yati, yang juga bekas wartawan sebuah surat khabar mencetuskan pelbagai pertikaian dan kritikan setelah satu video berhubung ajaran itu tular di media sosial.

Rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipercayai Ibu Yati melafazkan ‘iLa Ha iLa Ra iLa Ma’ dan ‘aku Melayu’ sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.

Susulan itu Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan menggesa seluruh umat Islam tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa oleh Ibu Yati.

BBerkaitan

Latest articles