SRIKANDI BERSATU BUKIT GELUGOR UMUM BUBAR JAWATANKUASA, KELUAR PARTI

GEORGE TOWN – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bukit Gelugor hari ini mengumumkan pembubaran keseluruhan jawatankuasa bahagian itu serta peletakan jawatan semua barisan kepimpinan, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Bukit Gelugor, Nor Azah Abdul Aziz berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti pimpinan dan ahli di peringkat bahagian yang mendakwa hilang kepercayaan terhadap hala tuju serta kepimpinan parti ketika ini.

Menurut beliau, perkembangan mutakhir dalam parti termasuk beberapa tindakan disiplin dan pemecatan melibatkan pimpinan tertentu turut menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli di akar umbi.

Sehubungan itu, jawatankuasa Srikandi bahagian berkenaan memutuskan untuk membubarkan organisasi tersebut, meletakkan semua jawatan dalam parti serta keluar daripada keanggotaan BERSATU secara serta-merta.

Nor Azah berkata keputusan tersebut bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui perbincangan dan penelitian mendalam bagi memastikan kebajikan serta perjuangan ahli terus terpelihara.

Walaupun mengumumkan pengunduran daripada parti, beliau menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan BERSATU atas peluang yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, namun menegaskan wadah perjuangan sedia ada tidak lagi selari dengan aspirasi di peringkat bahagian.

Tambahnya, kumpulan itu komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, khususnya wanita dan penduduk di Bukit Gelugor, melalui pendekatan serta platform yang akan dimaklumkan pada masa sesuai.

BBerkaitan

Latest articles