Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, enggan mengulas pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang dikatakan pernah memujuk beliau untuk menangkan Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan rasuah pada 2018.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi, Apandi menceritakan peranan Sri Ram atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sri Ram menyuarakan permintaan itu semasa berkunjung ke rumahnya pada Januari 2018, katanya.
“Pada suatu malam dalam bulan Januari 2018, Gopal Sri Ram datang ke rumah saya selepas beberapa kali menelefon meminta untuk bercakap dengan saya secara terus dan peribadi.
“Oleh sebab beliau juga bekas hakim, saya setuju,” kata Apandi dalam hantaran yang beliau sebut bayangan awal kepada sebuah bab dalam memoirnya.
“Beliau telah memberi indikasi bahawa beliau mahu memujuk saya untuk menyahbekukan satu akaun firma guaman kerana peguam yang telah melantik Sri Ram perlu dibayar dan akaun yang dibekukan itulah sumber wang pembiayaan mereka,” kata Apandi.
Malah Apandi memberitahu Sri Ram telah menghantar representasi ke pejabatnya, namun menolak permintaan tersebut selepas mengadakan perbincangan bersama pegawai-pegawainya di divisyen jenayah.
Pertemuan Sri Ram di kediaman Apandi kembali membincangkan representasi berkenaan namun sekali lagi ditolak oleh Apandi.
“Selepas itu, tiba-tiba Sri Ram kata bahawa soal akaun firma guaman itu sebenarnya hanya merupakan alasan untuk bertemu saya. Gopal kata dia ada agenda yang lebih besar untuk bertemu saya.
“Tun M hantar saya untuk bertemu kamu.”
“Tun M mahu kamu menangkap Najib di pejabat Perdana Menteri, kamu pergi esok jam 2 petang, kami sudah uruskan pihak Polis Putrajaya untuk lakukan apa yang perlu mengikut arahan kamu. Kami juga telah uruskan seorang majistret untuk mengeluarkan perintah reman ke atas Najib apabila dia dibawa ke hadapan Majistret itu nanti.”
“Bro, kamu akan jadi hero di mata rakyat dan akan mencatat sejarah sebagai Peguam Negara pertama untuk menangkap seorang Perdana Menteri yang masih berkuasa.”
“Jangan risau, kami dah letakkan pelan-pelan asas, apa yang aku perlu sekarang adalah untuk engkau setuju.”
Sri Ram beberapa kali meyakinkan Apandi tindakannya menangkap Najib akan menyebabkan rakyat di luar gembira dan.
Namun, Apandi berpegang kepada prinsip untuk tidak menangkap Najib dengan alasan ‘Tidak ada sebab untuk saya menyelamatkan sesiapa memandangkan saya pada ketika itu adalah “musuh semua pihak” memandangkan pada ketika itu beliau juga menerima tempias serangan rakyat.