KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai sebarang sebab untuk mensabotaj SRC International Sdn. Bhd., syarikat yang ditubuhkannya sendiri bagi melaksanakan projek strategik negara.
Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berhujah, adalah tidak masuk akal untuk bekas Perdana Menteri merencanakan kerugian syarikat tersebut sedangkan beliau mempunyai kepentingan besar melihat SRC berkembang maju.
“Sebagai seorang tokoh awam, Najib mempunyai segala sebab untuk memastikan kejayaan SRC. Tuduhan kononnya beliau mendapat manfaat peribadi melalui konspirasi yang menjelaskan niat jahatnya juga tidak dapat dibuktikan.
“Malah, dakwaan berkaitan AS$120 juta yang kononnya diterima beliau juga gagal disokong bukti,” katanya.
Menurut Muhammad Farhan, tindakan Najib sepanjang menguruskan SRC lebih konsisten dengan seseorang yang mahu memastikan kejayaan syarikat, bukannya menjurus kepada kehancuran.
Namun begitu, peguam SRC International, Datuk Lim Chee Wee, berhujah sebaliknya. Beliau menegaskan syarikat itu yang pada asalnya ditubuhkan untuk kepentingan rakyat, sebaliknya menjadi mangsa penyelewengan besar-besaran dengan Najib didakwa sebagai penerima utama.
“Walaupun SRC mengalami kerugian sekitar AS$1.18 bilion, Najib secara peribadi mendapat manfaat hampir AS$120 juta ke dalam akaunnya selain RM42 juta lagi yang menjadi subjek dalam saman berasingan,” jelasnya.
SRC International, di bawah pengurusan baharu, telah memfailkan saman pada Mei 2021 terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.
Syarikat itu menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami akibat pecah amanah, salah guna kuasa dan pelanggaran tugas, serta menuntut beliau membayar balik kerugian termasuk RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan bersambung pada 24 September ini.