SPRM Tonggak Integriti Negara, Diberi Kebebasan Penuh Untuk Bertindak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan tonggak utama dalam mempertahankan tatakelola negara serta integriti sistem pentadbiran.

Beliau menekankan bahawa usaha membanteras rasuah harus bermula daripada kepimpinan tertinggi melalui tindakan nyata, bukan sekadar janji kosong.

Dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Beristiadat SPRM 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam tadi, Anwar berkata Kerajaan MADANI yang dipimpinnya tidak akan berkompromi dalam isu penyalahgunaan kuasa dan telah memberi kuasa penuh kepada SPRM untuk bertindak tanpa sebarang halangan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan rasuah.

“Saya telah beri mesej yang jelas bahawa tidak wajar lagi diizinkan perolehan tanpa kawalan, dan SPRM diberi kebebasan penuh untuk menggeledah, membongkar dan mengambil tindakan,” ujar beliau.

Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan kepada SPRM atas usaha gigih mereka dalam menegakkan amanah yang berat dan mencabar ini.

Beliau mengakui masalah rasuah di Malaysia telah berakar umbi dan hampir menjadi budaya yang sukar dibanteras.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut mengimbas pengalamannya ketika berkhidmat dalam kerajaan terdahulu, di mana beliau memberi keutamaan kepada usaha memperkasakan Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang kini dikenali sebagai SPRM. Langkah-langkah yang diambil termasuk pindaan undang-undang, penambahan pegawai, serta penyediaan sokongan kewangan yang mencukupi.

Beliau turut berkongsi inspirasi daripada kejayaan Hong Kong dalam memerangi rasuah menerusi Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (ICAC) yang ditubuhkan pada tahun 1970-an.

“Tahun 60-an dan 70-an, Hong Kong terkenal sebagai negara yang paling tinggi jenayah dan rasuah. Maka, ada keputusan ketika itu untuk menubuhkan Hong Kong Anti-Corruption Commission.

“Suruhanjaya itu diperkasakan dengan peruntukan undang-undang yang kukuh, lengkap dengan jentera serta pegawai. Dengan tiga faktor ini, kebebasan mereka dalam menangani rasuah berubah dalam masa lapan tahun, dan Hong Kong berubah wajah menjadi sebuah negara yang bersih,” katanya.

Anwar memberi jaminan selagi beliau memegang jawatan Perdana Menteri, usaha memerangi rasuah akan diteruskan dengan penuh ketegasan dan tiada kompromi.

Kerajaan MADANI komited untuk membina sebuah negara berwibawa yang bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa, dalam usaha memastikan Malaysia mencapai status negara yang bersih dan berintegriti.

BBerkaitan

Latest articles