SPRM tahan semula ahli perniagaan dikaitkan dengan ahli politik

Ahli perniagaan yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Khamis lalu berhubung dakwaan skandal rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) ditahan semula hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan itu, namun enggan mengulas lanjut.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata, individu terbabit ditahan semula selepas perintah tahanan reman berkaitan kes pertama tamat hari ini.

“Pegawai penyiasat memutuskan untuk menahan semula ahli perniagaan itu kerana menerima maklumat yang dia mungkin terbabit dalam satu lagi kes rasuah.

“Kes kedua juga ada kaitan dengan MBI, tetapi membabitkan projek lain di bawahnya,” kata sumber dalaman SPRM itu.

Suspek didakwa menerima rasuah daripada syarikat lain selepas berjaya mendapatkan kontrak berkaitan dengan MBI.

Ahli perniagaan itu ialah antara empat individu yang ditahan SPRM minggu lalu berhubung siasatan skandal rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat badan pelaburan negeri berkenaan.

Seorang bekas pekerja MBI berusia 45 tahun ditahan semalam, manakala seorang pemandu berusia 43 tahun dan seorang bekas pegawai kewangan berusia 46 tahun yang didakwa terbabit dalam kes konsesi pasir itu, masing-masing direman selama tiga hari.

Azam sebelum ini berkata, seorang ahli politik dikaitkan dengan siasatan itu, namun beliau tidak mendedahkan namanya dan menyatakan, ahli politik itu akan dipanggil selepas penyiasat mengumpul serta mengesahkan semua bukti diperlukan, termasuk dokumen dan wang.

BBerkaitan

Latest articles