PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengerusi IJM Corporation Bhd. bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di kediamannya.
Operasi berkenaan turut melibatkan tiga lokasi lain, termasuk sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan serta sebuah bank pelaburan.
Sumber memaklumkan, siasatan awal mendapati bank pelaburan terbabit dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan ke atas IJM Corporation Berhad, termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri.
Kes itu disiasat oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM sejak 19 Januari lalu, melibatkan kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan pengurusan korporat dan transaksi kewangan berskala besar.
Sehubungan itu, SPRM telah membekukan sebanyak 70 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang dipercayai berkaitan dengan suspek, melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM30.6 juta.
Siasatan turut memfokuskan usaha mengesan dan menyita aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Setakat ini, seramai 15 individu termasuk isteri suspek telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil atas faktor kesihatan, namun siasatan akan diteruskan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.










