PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang pegawai kanan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana dipercayai terbabit dalam skandal rasuah yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, pegawai kanan terbabit dipercayai dalam kalangan pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan gred Jusa B, ditahan di pejabatnya sekitar jam 4 petang semalam.
Turut ditahan ialah seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an, masing-masing pemilik syarikat dan orang awam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya serta pejabat SPRM Kuala Lumpur antara jam 1 hingga 2 petang.
“Ketiga-tiga mereka dipercayai terbabit dalam rasuah sejak 2014. Pemilik syarikat terbabit didakwa membayar rasuah kepada pegawai PBT sebagai balasan untuk mendapatkan projek teknologi maklumat (IT) di agensi berkenaan,” kata sumber.
SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua kereta mewah jenis Lexus RX500h dan Mini Cooper serta beberapa barangan berjenama termasuk beg tangan dan kasut Hermès serta Louis Vuitton.
Selain itu, sebanyak 19 akaun bank milik individu dan syarikat dengan nilai keseluruhan melebihi RM7 juta turut dibekukan bagi tujuan siasatan lanjut.