SPRM Sahkan Tiada Salah Laku Dalam Isu Penerokaan Mineral Dikaitkan Dengan Farhash, Kes Ditutup

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tiada sebarang salah laku dikesan dalam isu membabitkan syarikat milik Datuk Seri Farhash Wafa Salvador @ Farhash Sabri yang dikaitkan dengan penerokaan mineral di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak pernah menerima kelulusan tanah daripada kerajaan negeri seperti yang didakwa.

“Yang ada hanyalah permohonan untuk eksplorasi mineral kepada Sabah Mineral Management (SMM) pada Mac 2023, dan ia diluluskan secara bersyarat. Namun syarikat gagal mengemukakan dokumen diperlukan, sekali gus menyebabkan kelulusan itu dibatalkan pada 28 Mac 2025.

“Maknanya, tiada sebarang kerja penerokaan pun dijalankan,” katanya pada sidang media di ibu negara, pagi ini.

Azam menegaskan, SPRM telah memanggil semua pihak berkaitan termasuk wakil kerajaan negeri dan SMM bagi merakam keterangan sebelum merujuk kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Hasil penelitian, didapati tiada asas untuk pendakwaan sama ada di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang lain. Malah, tiada isu tadbir urus (governance) yang timbul.

“Dengan itu, kes ini telah ditutup,” jelasnya.

Untuk rekod pada Julai lalu, Farhash melalui peguamnya telah menghantar surat cease and desist kepada portal MalaysiaNow, menuntut penarikan semula dakwaan serta membuat permohonan maaf terbuka dalam tempoh 48 jam.

Farhash turut menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan laporan itu sebagai “palsu dan berunsur fitnah”.

Terdahulu, satu laporan mendakwa bahawa SMM telah menganugerahkan lesen penerokaan kepada Bumi Suria Sdn Bhd bagi perlombongan arang batu, dengan syarikat itu didakwa diberikan hak eksklusif meneroka kawasan seluas 70,000 hektar di Hutan Simpan Kalabakan dan Gunung Rara, berhampiran sempadan Kalimantan.

BBerkaitan

Latest articles