Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, mengesahkan bahawa seorang pemberi maklumat berkaitan kes video beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa membincangkan isu rasuah telah bertemu dengan pegawai SPRM pada 30 Oktober lalu. Dalam pertemuan itu, peguam pemberi maklumat hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan perbincangan beberapa individu mengenai wang.
Azam menggesa pemberi maklumat tersebut untuk membuat laporan rasmi kepada SPRM agar dapat memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memerlukan individu untuk mendedahkan perlakuan salah terlebih dahulu seperti yang ditakrifkan oleh undang-undang sebelum proses perlindungan dapat dijalankan,” kata Azam.
Dalam pada itu, Azam turut menjelaskan bahawa SPRM tidak boleh memberikan jaminan imuniti bertulis tanpa maklumat terperinci mengenai kesalahan yang didakwa lapor Malaysia kini.
“SPRM tidak boleh memberikan sebarang jaminan imuniti bertulis yang bermaksud individu itu tidak akan disiasat atau didakwa tanpa maklumat terperinci,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perlindungan di bawah akta tersebut akan terbatal sekiranya pemberi maklumat didapati turut terlibat dalam kesalahan yang dilaporkan.
Mengulas mengenai permohonan Peguam yang meminta jaminan tambahan, jelas Azam peguam pemberi maklumat telah meminta SPRM menandatangani persetujuan untuk memastikan anak guamnya tidak akan diletakkan di bawah siasatan.
Namun, pegawai SPRM tidak bersetuju kerana permintaan tersebut tidak mengikut prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi.
“Peguam juga menyatakan rasa tidak yakin terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, kerana menurutnya, akta itu tidak memberikan jaminan perlindungan yang mencukupi,” tambah Azam.
Dalam pada itu, Azam turut memberi jaminan bahawa SPRM akan bertindak secara saksama dan profesional mengikut undang-undang bagi memastikan kes tersebut disiasat dengan teliti. Beliau menegaskan bahawa sebarang dakwaan salah laku akan diambil serius dan disiasat secara terperinci.
Terdapat laporan mengenai sekurang-kurangnya lapan rakaman video yang menunjukkan beberapa ADUN yang dikatakan berbincang mengenai “rasuah” bernilai ratusan ribu ringgit sebagai imbalan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri. Selain itu, terdapat juga dokumen serta maklumat perbankan dalam talian yang didakwa berkaitan dengan kes ini.
Rakaman yang dipercayai dibuat awal tahun ini menunjukkan seorang ahli perniagaan, yang wajahnya tidak kelihatan, berbincang tentang pemulangan wang kerana pembatalan lesen projek tersebut. Malaysiakini turut melaporkan bahawa terdapat lebih banyak rakaman video yang melibatkan ADUN lain dari negeri yang sama.
Pemberi maklumat menyatakan kesediaan untuk mendedahkan lebih banyak bukti tetapi memohon perlindungan penuh di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sebelum berbuat demikian.