KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpuas hati terhadap ketulenan empat keping surat yang mengesahkan pemberian derma RM2.3 bilion kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pegawai kanan SPRM, Fikri Ab. Rahim, dalam keterangannya berkata pengesahan itu diperoleh melalui keterangan peguam istana Arab Saudi, Mohamad Abdullah Al-Koman, yang mewakili kerabat diraja, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud.
Menurut Fikri, Putera Saud sendiri mengakui sebagai penulis surat-surat tersebut, yang bertujuan menyatakan pemberian derma kepada Najib.
Bagaimanapun, meskipun pengesahan telah diperoleh, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mendapatkan lebih banyak bukti berkaitan.
Fikri turut memaklumkan bahawa beliau adalah sebahagian daripada pasukan SPRM yang berkunjung ke Riyadh pada November 2015 bagi menyiasat dakwaan derma politik itu.
Misi siasatan itu turut disertai oleh Tan Sri Azam Baki, yang ketika itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, serta Tan Sri Dzulkifli Ahmad dari Jabatan Peguam Negara (AGC).
Beliau menjelaskan bahawa selepas merekodkan keterangan Abdullah Al-Koman, beliau berpuas hati dan memaklumkan hal itu kepada Azam.
“Tan Sri bertanya sama ada saya berpuas hati, dan saya jawab ya. Jika demikian, beliau meminta saya maklumkan kepada wakil AGC yang hadir dalam siasatan tersebut,” katanya.
Dalam sesi soal jawab, Fikri turut menyatakan bahawa ketika siasatan dijalankan, mereka hanya dibenarkan merekodkan keterangan melalui wakil istana kerana putera Arab Saudi itu dilindungi imuniti diplomatik.
Pasukan penyiasat SPRM juga dimaklumkan bahawa mereka akan bertemu tiga putera Arab Saudi selepas menunaikan umrah, dan sepanjang tempoh di sana, mereka ditempatkan di hotel yang diuruskan kerajaan Arab Saudi atas faktor keselamatan.
Najib, 71, sedang menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung pada Selasa depan.