PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatat pencapaian besar apabila berjaya memulihkan aset negara bernilai lebih RM28 bilion sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, antara kejayaan terbesar ialah penyelesaian kes dengan JPMorgan Chase & Co yang membawa pulangan semula RM1.4 bilion kepada Malaysia.
“Pencapaian ini bukan hasil usaha SPRM semata-mata, tetapi kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Peguam Negara.
“Rakan antarabangsa juga memainkan peranan penting melalui mekanisme Mutual Legal Assistance (MLA),” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Pelancaran Keep Malaysia Clean (KMC) di Puspanita Puri, hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azam menegaskan, usaha pemulihan aset hasil siasatan bersama pelbagai pihak menempatkan Malaysia di landasan tepat untuk mengembalikan hak rakyat yang diseleweng.
“Melalui penubuhan Malaysia Asset Recovery Task Force (MATF) bersama DOJ, FBI, OAG Switzerland dan agensi luar lain, tindakan proaktif berjaya diambil terhadap aktiviti haram berskala besar termasuk aliran kewangan haram.
“Malaysia kini diiktiraf sebagai antara peneraju penguatkuasaan anti-rasuah di peringkat ASEAN,” katanya.
Dalam pada itu, Azam berkata SPRM menyokong cadangan kerajaan memperkenalkan kerangka undang-undang Deferred Prosecution Agreement (DPA) yang sudah diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.
“DPA akan mempercepatkan proses pemulihan aset, mengurangkan kerugian dana awam akibat rasuah serta meningkatkan keberkesanan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah korporat,” ujarnya.
Beliau menambah, semua pencapaian ini hanya dapat direalisasikan berkat sokongan penuh kerajaan dan iltizam politik yang jelas untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah.