KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa agensi itu digunakan untuk menyiasat calon yang bertanding dalam pemilihan PKR.
Dalam kenyataan rasmi malam ini, SPRM menegaskan tuduhan bekas Timbalan Presiden PKR itu tidak berasas sama sekali, sambil menekankan bahawa semua siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat sahih yang diterima.
Menurut agensi itu, setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses tapisan, pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur operasi standard yang ditetapkan.
SPRM turut menafikan kenyataan Rafizi yang mendakwa pegawai suruhanjaya “mengepung rumah” individu tertentu.
Jelas mereka, kehadiran pegawai ke kediaman tersebut adalah sebahagian daripada prosedur biasa bagi tujuan penggeledahan dan mendapatkan bahan bukti, termasuk penggunaan elemen kejutan untuk mengelakkan sebarang cubaan melupuskan bukti.
Agensi itu menjelaskan, setelah mendapati individu terbabit tiada di rumah, pegawai beredar dan tiada tindakan luar biasa diambil.
Individu berkenaan kemudian hadir sendiri ke pejabat SPRM keesokan harinya, dirakam percakapannya dan dibebaskan tanpa penahanan.
SPRM menambah bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan pegawainya boleh membuat laporan melalui saluran rasmi seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) bagi memastikan proses semakan yang telus.
Dalam kenyataan sama, SPRM mengingatkan agar orang ramai tidak membuat tuduhan tidak berasas di media sosial kerana ia boleh menjejaskan imej institusi penguatkuasaan negara.
Sebelum ini, dalam audio siar terbaharunya, Rafizi mendakwa beberapa ahli PKR menjadi sasaran siasatan SPRM selepas didakwa tidak lagi disukai sesetengah pemimpin parti, termasuk individu yang pernah bertanding menentang Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden PKR.










