Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merujuk aduan kes membabitkan dakwaan seorang kenamaan bergelar Tan Sri didakwa terbabit salah laku rasuah berhubung transaksi tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) SPRM.
Status kes itu kini ‘Dalam Tindakan SPRM’, menyiasat isu tanah di Jalan Kuchai Lama yang didakwa turut membabitkan bekas Datuk Bandar DBKL, beberapa pegawainya dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Datuk Mohd Ridzuan Abdullah yang melakukan aduan itu di pejabat SPRM Kuala Lumpur, 5 Oktober lalu bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjelaskan tindak balas SPRM itu diterima pihaknya menerusi e-mail.
“Pihak SPRM juga sudah meminta butir terperinci berkaitan kes,” katanya yang mendakwa berlaku pencabulan kuasa serta amalan rasuah dalam soal penjualan tanah DBKL kepada Tan Sri berkenaan di bawah harga pasaran.
Katanya, tanah seluas sekitar satu ekar (0.40 hektar) itu dijual RM13 juta sahaja sedangkan harga pasaran bernilai RM80 juta.
Maklumat terkini tindakan SPRM berhubung isu itu didedahkannya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.
Selain itu, katanya, pagi tadi beliau juga sudah menghantar memorandum salah laku berkenaan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki di Putrajaya.
Dalam perkembangan lain, katanya, Ikhlas meminta campur tangan kerajaan persekutuan untuk membantu peniaga di dalam kompleks diberikan pengecualian bayaran permit atau lesen perniagaan dalam tempoh enam bulan lagi.
“Sewaktu pandemik Covid-19 menular di negara ini hingga menyebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peniaga yang menyewa di kompleks dan pasar raya terjejas apabila tiada pengunjung.
“Kini virus kembali tular mendadak sehingga PKP Bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula di Selangor, Putrajaya, Selangor dan Sabah menyebabkan perniagaan akan kembali terjejas.
“Justeru kami meminta pengecualian permit perniagaan sehingga Mac tahun depan untuk membantu meringankan beban kerugian terpaksa ditanggung,” katanya.