SPRM Maklumkan Sudah Lengkapkan Kertas Siasatan LCS

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan pihaknya telah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap isu projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Memetik kenyataan SPRM, kertas siasatan terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan kes itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

“Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada semalam telah mengarahkan SPRM menyegerakan siasatan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Tegas beliau, sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

Ia berikutan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai projek LCS pada 4 Ogos lalu.

Laporan itu menyimpulkan terdapat banyak penyelewengan dalam projek yang menyebabkan kelewatan penghantaran dan subkontraktor tidak dibayar.

BBerkaitan

Latest articles