SPRM kunjungi HRD Corp, KESUMA ambil dokumen bantu siasatan

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengunjungi ibu pejabat HRD Corp di Bukit Damansara di sini, dan pejabat Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Putrajaya, hari ini, untuk mengambil dokumen berkaitan isu HRD Corp seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, baru-baru ini.

Di ibu pejabat HRD Corp, 10 pegawai SPRM dilihat tiba pada jam 11.30 dan 11.39 pagi serta 12.20 tengah hari tadi dengan menaiki empat kenderaan. Mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang perempuan.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan agensi itu sudah menerima laporan audit yang dikemukakan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee, Jumaat lalu.

Beliau dipetik berkata, berasaskan laporan audit itu, pihaknya mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak terbabit lapor berita Harian.

Antaranya, isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya. Oleh itu, satu pasukan khas telah dibentuk dan beberapa kertas siasatan telah dibuka.

Katanya, pasukan penyiasat akan pergi ke kementerian sumber manusia dan HRDC bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan, pada hari ini.

Tambah beliau, beberapa individu sudah dikenal pasti dan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Siasatan akan dijalankan dibawah Akta SPRM 2009 dan kesalahan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009.

Khamis lalu, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 berkata KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Berikutan itu, Menteri Sumber Mnusia, Steven Sim Chee Keong, Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM selaras dengan syor Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam LKAN Siri 2/2024 dan PAC.

Steven Sim menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

Jumaat lalu, Khairul Dzaimee dilaporkan berkata, laporan itu diserahkan kepada SPRM pada pukul 11 pagi selaras syor dikemukakan dalam LKAN supaya kementerian melaporkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.

“SPRM beri jaminan siasatan adil dan profesional akan dilaksana segera (berhubung isu ini),” katanya.

Ditanya terdapat pegawai HRD Corp digantung susulan penemuan LKAN, Khairul Dzaimee memaklumkan tindakan itu hanya dilakukan sekiranya pihak kementerian menjalankan siasatan dalaman terhadap kes berkenaan.

Di Putrajaya, beberapa anggota dan pegawai SPRM hadir di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di sini, bagi mengambil dokumen berkaitan isu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Anggota dan pegawai SPRM itu tiba pada jam 11.20 pagi tadi bagi mengambil dokumen diperlukan untuk membantu siasatan.

Mereka tiba dengan hanya berpakaian preman dan tidak menggunakan kenderaan berlogo.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, pasukan penyiasat terbabit masih berada di KESUMA.

BH sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada SPRM.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, dilaporkan berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu HRD Corp.

Beliau berkata, pasukan siasatan juga akan ke KESUMA dan HRD Corp hari ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles