KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan bahawa waran tangkap pernah dikeluarkan terhadap Datin Seri Pamela Ling Yueh susulan kegagalannya mematuhi perintah hadir ke ibu pejabat SPRM untuk siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Menurut kenyataan rasmi SPRM, siasatan terhadap Pamela dan suaminya, Datuk Seri Hah Tiing Siu, bermula sejak Mei 2024 di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta AMLA 2001.
Waran tangkap ke atas Pamela telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada 2 Disember 2024.
“Beliau enggan hadir walaupun dipanggil untuk bantu siasatan. Maka, satu operasi bersama dengan Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) dilancarkan dan Pamela ditahan secara sah pada 8 Januari 2025 serta dibawa pulang ke Malaysia,” jelas SPRM.
Pamela kemudiannya direman selama tiga hari dan dibebaskan dengan ikat jamin SPRM.
Namun, pada 9 April 2025, beliau sekali lagi dipanggil untuk sambungan rakaman percakapan berdasarkan maklumat baharu, tetapi gagal hadir.
Susulan itu, SPRM bertindak menyekat dokumen perjalanan milik Pamela dengan kebenaran Timbalan Pendakwa Raya.
Peguamnya kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangan Pamela pada hari yang sama.
SPRM menegaskan segala tindakan yang diambil ke atas Pamela adalah selaras dengan undang-undang dan mendapat perintah mahkamah yang sah, malah dakwaa salah laku atau penyalahgunaan kuasa disifatkan tidak berasas.
“SPRM sentiasa mematuhi prosedur yang ditetapkan. Cabaran perundangan oleh Pamela tidak menjejaskan siasatan ke atas kesalahan yang disyaki,” ujar kenyataan itu lagi.
Suruhanjaya itu turut memberi jaminan telah memberikan kerjasama penuh kepada siasatan kehilangan Pamela yang kini diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Fokus kini, kata SPRM, adalah untuk membantu pihak berkuasa dalam usaha mengesan dan membawa pulang Pamela Ling dengan selamat.