SPRM buru dua individu, termasuk menantu Muhyiddin

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua lelaki, termasuk Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

“(Ini) bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh SPRM termasuk berhubung terus dengan kedua-dua penama dan peguam masing-masing namun mereka masih gagal menghadirkan diri ke pejabat SPRM,” kata SPRM pada satu kenyataan hari ini.

Selain Adlan, SPRM juga mengesan Mansoor Saat, 69 tahun.

“Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini,” kata suruhanjaya antirasuah itu lagi.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu terlibat diminta menghubungi pegawai penyiasat SPRM, Nur Muhammad Amin bin Jamaluddin di talian 603-88700799 atau 016- 4322 699 atau emel kepada [email protected].

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada Feb lalu menafikan sebarang penglibatan dalam pemberian kontrak yang didakwa ada kaitan dengan menantunya Adlan.

Ini selepas SPRM dilaporkan sedang menyiasat penganugerahan kontrak itu atas alasan kemungkinan salah guna kuasa dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

“Saya sebagai perdana menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka,” kata Muhyiddin pada 9 Feb.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata tiada ahli keluarganya mempunyai hubungan dalam IRIS Corporation Berhad, sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

Pada 2020, pentadbiran Muhyiddin mengumumkan NIISe sebagai “sistem yang lebih baik” bagi menangani kelemahan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikatakan tidak dapat mengesahkan pergerakan warga asing.

NIISe kemudiannya dilancarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada April 2021, diketuai oleh menterinya ketika itu Hamzah Zainudin.

Dia berkata sistem imigresen sedia ada, MyIMMs, perlu diganti dengan sistem imigresen yang lebih canggih, bersepadu dan holistik yang dilengkapi teknologi terkini seperti Kepintaran Buatan, Internet Semua Perkara (IOT) dan Analisis Data Raya.

Hamzah berkata IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd akan membangunkan NIISe bersama KDN dan badan bebas lain menjelang 2024.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Adlan ialah pemain utama dalam konsesi NIISe bernilai RM1.2 bilion melalui pautan dalam salah satu pendahulu projek itu, penyedia penyelesaian keselamatan S5 Holdings Inc.

Bagaimanapun, pengarah urusan kumpulan S5 Syed Mohammad Hafiz Jamalullail menafikan pada 2021 bahawa tiada rakannya dalam politik, termasuk Adlan, yang terlibat dalam syarikat itu.

BBerkaitan

Latest articles