SPRM: Akaun Tiga Artis, Selebriti Tidak Dibeku, Hanya Bantu Siasatan

KUALA LUMPUR: Tiga artis dan selebriti yang terkait dengan Ops Sky hanya dipanggil bagi membantu dan melengkapkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes terbabit.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya juga tidak membekukan akaun mereka.

Sehubungan itu, kata beliau, tidak timbul isu berapa bayaran yang diterima oleh artis dan selebriti berkenaan sebaliknya SPRM hanya mahu menentukan jumlah pelaburan yang dibuat syarikat berkenaan untuk membayar artis dan selebriti terbabit.

“Kita juga nak tengok kenapa syarikat berkenaan sampai menggunakan selebriti untuk mempromosikan pakej mereka kepada terutamanya penjawat awam bagi memohon pinjaman daripada institusi kewangan, itu yang penting.

“Kalau sekiranya banyak pelaburan yang dibuat untuk membayar selebriti berkenaan, maka ini akan menimbulkan kemusykilan kepada kami sebagai pegawai penyiasat.

“Jadi dalam penyiasatan ini, kita kena lihat kepada semua angle (sudut),” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Tiga selebriti yang dikaitkan dengan siasatan SPRM dalam Ops Sky itu ialah pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan, Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain.

Ketiga-tiga mereka hadir ke ibu pejabat SPRM di sini pagi ini untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Azam berkata, pihaknya akan mengenal pasti sekiranya ada artis atau selebriti lain yang terlibat untuk membantu siasatan.

“Setakat sekarang hanya tiga (artis dan selebriti yang dipanggil)…jangan ingat kita nak menangkap mereka dan sebagainya…tidak ada kena-mengena pun dengan akaun mereka,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, tambah Azam, setakat ini, pihaknya sudah membekukan sejumlah RM18 juta wang yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan dalam kes terbabit.

Dalam masa sama, ujarnya, SPRM juga sedang meneliti satu lagi modus operandi syarikat terbabit yang menggalakkan peminjam yang diluluskan pinjaman mereka untuk melabur semula ke dalam syarikat tersebut.

“Ini satu lagi perkara yang perlu kita lihat sama ada mungkin berlaku satu lagi kesalahan oleh syarikat berkenaan yang dipanggil pegambilan deposit secara haram.

“Kita boleh meneruskan siasatan di bawah kami walaupun ia bukan kesalahan rasuah iaitu di bawah Seksyen 10 Subseksyen 3 Akta SPRM 2009,” katanya.

Januari lalu, SPRM menerusi Ops Sky berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Ia susulan penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.

Media melaporkan sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah dan pengubahan wang haram.

Kegiatan rasuah dilakukan oleh pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.

Pegawai terbabit dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi.

BBerkaitan

Latest articles