SPRM Akan Fail Pelucuthakan Aset RM170 Juta, Jongkong Emas Dikaitkan Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap pelbagai aset mewah yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan itu melibatkan wang tunai bernilai RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam sebuah safehouse.

“Siasatan sudah lengkap. Kini ia di peringkat Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tentukan sama ada pendakwaan jenayah akan dibuat.

“Namun mereka bersetuju untuk kita memfailkan pelucuthakan aset dalam satu hingga dua minggu lagi selepas afidavit dikemukakan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM semalam.

Menurut beliau, jika permohonan itu tidak dicabar, semua aset terbabit akan diserah kepada kerajaan sebagai hasil negara.

“Kalau berjaya dilucut hak, wang dan emas ini jadi milik kerajaan. Jika ditentang, ia akan dibicarakan di mahkamah seperti biasa,” ujarnya.

Difahamkan, aset berkenaan adalah hasil siasatan terhadap perbelanjaan promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang pentadbiran Ismail Sabri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini beberapa kali dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Azam turut menegaskan, keputusan untuk mendakwa Ismail Sabri atas apa-apa kesalahan jenayah sepenuhnya terletak pada budi bicara TPR.

“Kita dah siapkan semua kerja kita. Soal sama ada pertuduhan atau tidak, itu hak mutlak TPR,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles