SPR Umum PRK DUN Pelangai 7 Oktober

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini, demikian pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh 23 September pula merupakan sebagai hari penamaan calon, selain tarikh 3 Oktober ditetapkan sebagai undi awal.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 23 September 2023 sehingga pukul 11.59 malam, 6 Oktober 2023.

“PRK Pelangai melibatkan kos RM2.1 juta dan sejumlah 16,456 pemilih terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Pelangai, hari ini.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Johari juga adalah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.

Pada PRU15, Johari menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri; dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad dengan memperoleh 7,308 undi, kelebihan majoriti 4,048 undi bagi dirinya.

BBerkaitan

Latest articles