Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan rasuah sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, baru-baru ini.
BN Menang PRK Slim Dengan Politik Wang – Tun M
Katanya, SPR bersedia untuk meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara tersebut jika menerima aduan.
“Dari segi aduan kita tidak menerima apa apa aduan berhubung dakwaan politik wang ini, tak ada langsung.
“Tapi apa yang Tun (Dr Mahathir Mohamad) dakwa itu kita tak boleh nak kata apalah, sebab kita berdasarkan kepada laporan.
“Kalau tak ada laporan maknanya pilihan raya ini pilihan raya yang terbaiklah bagi saya,” katanya seperti memetik laporan Malaysiakini.
Terdahulu, pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Slim yang berlangsung pada minggu lalu disebabkan sogokan wang.
Kononnya pengundi menerima wang ketika dibawa ke tempat pengundian, ketika di dalam bas dan van, begitu juga selepas menunjukkan bukti mereka memangkah calon BN.
Dr Mahathir juga mendakwa, sekiranya tidak ada amalan pemberian wang kepada pengundi, calon yang disokong Pejuang, Amir Kusyairi mampu memperolehi jumlah undi yang lebih tinggi seperti jangkaan awal.