SPR Nafi Poster Tarikh PRN Sabah, Sahkan Maklumat Tular Palsu

KUALA LUMPUR: Paparan tarikh penting yang didakwa berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang kini berlegar di media sosial dinafikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, menegaskan poster tersebut adalah tidak benar dan sehingga kini pihaknya belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah atau tarikh pilihan raya.

“Maklumat rasmi hanya akan diumumkan melalui saluran sah SPR, termasuk portal rasmi, kenyataan media dan sidang media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang belum disahkan kerana penyebaran berita palsu seperti itu boleh mencetuskan kekeliruan.

SPR turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan, berkongsi atau menerbitkan maklumat tidak sahih di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan.

DUN Sabah ke-16 dijadual terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-17.

BBerkaitan

Latest articles