SPR Mesyuarat Jumaat Depan Tentukan PRK DUN Chini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Jumaat depan.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun di ibu pejabat SPR di Putrajaya.

“Mesyuarat akan membincangkan tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

“Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat itu,” kata Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

Berdasarkan Perkara 26 Fasal (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, SPR akan mengadakan PRK bagi kerusi DUN berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan oleh SPR.

Semalam, Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad, menyerahkan notis kekosongan DUN Chini kepada SPR ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Abu Bakar meninggal dunia pada tengah malam Rabu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum 2018, Abu Bakar selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Latest articles

Related articles

spot_img